ROM – Seorang lelaki di Itali mencipta kereta digelar paling nipis di dunia yang berukuran hanya 48.26 sentimeter lebar dan lebih kecil berbanding motosikal, lapor akhbar The Sun UK semalam.
Rakaman video yang dimuat naik di laman YouTube menunjukkan kereta berwarna biru itu dipandu mengelilingi bandar oleh penciptanya, Andrea Marazzi, sambil disaksikan orang ramai.
Dinamakan Panda for One, kenderaan itu boleh menempatkan pemandu dan seorang penumpang kanak-kanak.
Ia juga dilengkapi satu lampu depan, dua lampu belakang dan dua cermin sisi.
Meskipun mempunyai empat tayar nipis, kereta itu tidak mampu mencapai kelajuan tinggi kerana enjinnya yang kecil.
Seorang pengguna media sosial menyifatkan kereta itu sebagai karya seni.
“Idea yang sangat hebat, ia adalah hasil kerja yang sangat baik,” kata pengguna media sosial lain. – AGENSI