fbpx

Kemenangan beri inspirasi anak muda terus ceburi politik – Syed Saddiq

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Syed Saddiq.

PETALING JAYA – Bekas Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berharap keputusan mahkamah yang berpihak kepadanya akan menjadi sumber inspirasi buat anak muda supaya terus berani menyertai politik dan menyumbang kepada pembangunan negara.

Menerusi siaran langsung di aplikasi TikTok malam ini, beliau meluahkan harapan agar kemenangan tersebut bukan sekadar pembelaan terhadap dirinya, tetapi juga sebagai dorongan kepada generasi baharu untuk terus berjuang menegakkan kebenaran dan memperbaiki sistem sedia ada.

“Kebenaran yang akhirnya menang dan ditegakkan di dalam mahkamah. Pada masa itu saya benar-benar berharap kemenangan ini sedikit sebanyak memberi inspirasi kepada anak-anak muda.

“Mungkin ada (anak muda) beriltizam untuk menyertai politik dan membangunkan negara,” katanya.

Tambah beliau, inspirasi itu tidak terhad kepada dunia politik semata-mata, malah merangkumi apa jua bidang yang mampu menyumbang kepada kemajuan negara.

“Tidak kira mahu menjadi penjawat awam, doktor atau apa-apa profesi sekalipun, asalkan mereka menyumbang demi negara ini,” ujarnya.

Terdahulu, Syed Saddiq dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Rayuan hari ini atas empat pertuduhan berkaitan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada).

Keputusan sebulat suara itu dibuat panel tiga hakim yang diketuai Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim selepas membenarkan rayuan Syed Saddiq selaku perayu untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara tujuh tahun dan dua sebatan serta denda RM10 juta oleh Mahkamah Tinggi sebelum ini.

Dua lagi hakim yang turut bersidang Datuk Azman Abdullah dan Datuk Noorin Badaruddin. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI