TEL AVIV – Kepimpinan Israel terkejut dan malu dengan tindakan Presiden Amerika Syarikat (AS) yang secara terbuka memaki hamun Tel Aviv kerana meneruskan serangan selepas beliau mengumumkan gencatan senjata, lapor akhbar Metro UK semalam.
“Mereka terkejut melihat Trump melakukan perkara itu secara terbuka,” demikian menurut stesen penyiaran NBC News yang memetik seorang pegawai.
Kenyataan itu dibuat selepas Trump mengecam Israel dan Iran akibat melanggar perjanjian gencatan senjata yang diumumkan beliau kelmarin.
“Saya tidak suka Israel melancarkan serangan sejurus selepas kami membuat perjanjian. Mereka terus keluar dan menjatuhkan bom dalam kadar yang tidak pernah saya lihat sebelum ini.
“Saya tidak berpuas hati dengan Israel. Saya juga tidak berpuas hati dengan Iran. Mereka ini perlu bertenang.
“Kedua-dua pihak telah bertempur terlalu lama dan sengit sampai mereka sendiri tidak tahu apa yang mereka lakukan. Anda faham tak?,” kata Trump kepada pemberita di White House.
Sementara itu, Israel menegaskan bahawa perangnya dengan Iran ‘masih belum berakhir’ meskipun kedua-dua pihak telah mencapai persetujuan untuk melaksanakan gencatan senjata.
Ketua tentera Israel, Eyal Zamir berkata, program nuklear Tehran telah ditangguhkan selama beberapa tahun susulan kempen pengeboman 12 hari yang dibantu oleh AS.
Zamir menambah bahawa kempen menentang Iran belum berakhir sambil memberi amaran mengenai fasa baharu. – AGENSI