PETALING JAYA – Disebabkan masalah ‘overthinking’, pelakon Datin Intan Najuwa kini tidak mempunyai keberanian untuk membawa anak kesayangan, Imane Lunara melancong atau bercuti.
Intan atau nama sebenarnya, Intan Najuwa Abdul Wahid, 28, berkata, disebabkan banyak tragedi kecelakaan kapal terbang yang berlaku, itu menjadi antara sebab dia takut untuk ke mana-mana tempat pelancongan.
“Anxiety (kebimbangan) saya nak melancong dengan anak meningkat.
“Baik naik kereta atau kapal terbang. Semuanya buat saya paranoid melampau.
“Risau macam-macam benda,” katanya menerusi hantaran Threads.
Bagaimanapun, pelakon drama Racun Rihanna itu memaklumkan suaminya, Datuk Ahmad Azraf Azman kerap memberi nasihat supaya lebih tenang dalam berhadapan apa jua keadaan.
“Suami suruh tenang sedikit. Beginilah jadi mak.
“Mungkin saya patut bertenang sedikit dan menikmati perjalanan, tidak terlalu berfikir banyak perkara,” ujarnya lagi.
Sebelum ini, Intan menyambut Hari Raya Aidilfitri di Kuala Lumpur kerana tidak mahu anaknya tertekan dalam kesesakan lalu lintas yang teruk.
Dia juga tidak yakin untuk membawa puterinya menaiki kapal terbang kerana bimbang anaknya akan tertekan dengan persekitaran yang bising.
Intan mendirikan rumah tangga dengan usahawan Ahmad Azraf pada Ogos 2023.
Pasangan itu dikurniakan seorang cahaya mata perempuan bernama Imane Lunara pada 15 Disember tahun lalu. – KOSMO! ONLINE