fbpx

‘Hanya Allah tahu apa saya lalui’ – Syed Saddiq

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Syed Saddiq.

PETALING JAYA – Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman meluahkan perasaan syukur selepas lima tahun melalui detik mencabar dalam kes mahkamah yang dihadapinya.

Menerusi siaran langsung di aplikasi TikTok malam ini, bekas Menteri Belia dan Sukan itu menyifatkan ujian dilaluinya sebagai proses tarbiah daripada Allah SWT yang mengubah dirinya menjadi insan lebih kuat dan berprinsip.

“Hanya Allah saja yang tahu apa saya lalui… apa yang bergoncang dalam diri saya.

“It’s never been easy (bukan sesuatu yang mudah). Tapi saya berhutang budi kepada semua (masyarakat). Saya merasa seperti ujian yang Allah SWT beri ini ada sebabnya,” katanya.

Menurut Syed Saddiq, dugaan yang dihadapinya membuka jalan kepada banyak peluang baharu dan mempertemukannya dengan insan-insan yang tidak disangka-sangka.

“Melalui ujian inilah saya jadi lebih baik, lebih kuat. Saya bersyukur dapat berjumpa ramai orang yang menggembirakan hidup saya,” ujarnya.

Beliau turut menzahirkan rasa hormat terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang melepas dan membebaskannya daripada empat pertuduhan pecah amanah dan salah guna dana.

Bagaimanapun, beliau menyedari bahawa kerajaan masih mempunyai hak untuk mengemukakan rayuan terhadap keputusan itu.

“Bila saya baca (berita) kerajaan akan merayu… itu hak mereka. Tapi keputusan hari ini dibuat secara konsensus dan sangat kuat serta lantang,” katanya.

Syed Saddiq menegaskan, beliau memilih untuk bermuhasabah sepanjang proses ini berbanding menyerang mana-mana pihak secara terbuka.

“Lima tahun ini bukan masa yang mudah untuk saya dan keluarga. Saya tak gunakan siaran langsung ini untuk hentam sesiapa. Saya suka bermuhasabah,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI