TEHRAN – Gencatan senjata antara Iran dengan Israel dilihat bermula hari ini meskipun kedua-dua pihak menuduh satu sama lain melanggar gencatan senjata dalam beberapa jam selepas ia diumumkan, lapor saluran berita CNN.
Gencatan senjata yang goyah antara Israel dan Iran terhenti seketika petang semalam sebelum Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump berang dan secara terbuka memaki hamun Tehran serta Tel Aviv kerana meneruskan serangan.
Trump sebelum itu menggunakan media sosial untuk mengumumkan gencatan senjata sejurus selepas 5 pagi (GMT) semalam serta meminta pihak yang bertelagah supaya tidak melanggarnya.
Media Iran menyebut bahawa gencatan senjata telah dikenakan ke atas musuh selepas empat gelombang serangan ke atas wilayah yang dijajah Israel.
Pihak berkuasa Israel mengesahkan Iran telah melepaskan 20 peluru berpandu, manakala lima warga Israel terbunuh dan lebih 22 cedera di bandar selatan, Beersheba.
Sembilan puluh minit selepas pengumuman Trump, Israel yang memulakan perang dengan serangan mengejut pada 13 Jun, turut mengakui gencatan senjata.
Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi berkata, Tehran tidak berhasrat untuk meneruskan perang sekiranya Israel menghentikan serangan haramnya ke atas rakyat Iran.
“Bagi pihak semua rakyat Iran, saya mengucapkan terima kasih kepada Angkatan Bersenjata kami yang berani dan tetap bersedia untuk mempertahankan negara tercinta sehingga ke titisan darah terakhir mereka. Mereka bertindak balas terhadap sebarang serangan musuh sehingga ke saat-saat akhir,” katanya. – AGENSI