PETALING JAYA – Selepas melalui tempoh lima tahun penuh ujian termasuk perbicaraan di mahkamah, Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menyatakan hasrat untuk memberi keutamaan kepada kehidupan peribadinya terlebih dahulu.
Perkara itu dimaklumkan sendiri oleh beliau dalam satu siaran langsung menerusi aplikasi TikTok, malam ini.
“Izinkan saya mengambil sedikit masa untuk bermuhasabah… untuk uruskan kehidupan peribadi saya yang selama ini saya letakkan ke tepi demi kepentingan negara di hadapan,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa keputusan itu bukan bermaksud beliau akan meninggalkan perjuangan atau rakyat Malaysia, sebaliknya hanya mengambil sedikit ruang untuk kembali memberi tumpuan kepada diri dan keluarga.
“Saya cuma perlukan sedikit masa untuk uruskan kehidupan peribadi saya dan meluangkan masa bersama keluarga. Selepas itu, perancangan-perancangan lebih besar akan diumumkan dalam tempoh terdekat,” katanya.
Terdahulu, Syed Saddiq dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Rayuan hari ini atas empat pertuduhan berkaitan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada).
Keputusan sebulat suara itu dibuat panel tiga hakim yang diketuai Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim selepas membenarkan rayuan Syed Saddiq selaku perayu untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara tujuh tahun dan dua sebatan serta denda RM10 juta oleh Mahkamah Tinggi sebelum ini.
Dua lagi hakim yang turut bersidang Datuk Azman Abdullah dan Datuk Noorin Badaruddin. – KOSMO! ONLINE