IPOH – Tiga lelaki terlepas hukuman gantung selepas Mahkamah Tinggi di sini hari ini melepas dan membebaskan mereka daripada pertuduhan mengedar dadah jenis kanabis, enam tahun lalu.
Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Bhupindar Singh Gurcharan Singh Preet membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Mohd. Nazreen Hazim Abdullah Satar, 35; Mohd. Suhaimi Ahmad, 42, dan Muhammad Syafiq Shamsuddin, 38.
Berdasarkan kertas pertuduhan, tiga rakan itu didakwa mengedar dadah jenis kanabis seberat 1,145.5 gram di sebuah rumah di Taman Pinji Seni, Ipoh pada pukul 7.45 malam, 17 November 2019.
Pertuduhan terhadap mereka dikemukakan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum bawah Seksyen 39B(2) akta yang sama serta dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Kesalahan itu memperuntukkan hukuman gantung sehingga mati atau penjara seumur hidup dan jika tidak dihukum gantung, boleh dikenakan tidak kurang daripada 12 sebatan.
Dalam penghakimannya, Bhupindar Singh berpendapat, rantaian keterangan kesemua saksi pendakwaan berkaitan exhibit dadah didapati terputus selain terdapat keraguan berkaitan identiti dadah.
Menurut beliau, kegagalan mendedahkan nama pegawai forensik dan kegagalan memanggilnya sebagai saksi turut menyebabkan terdapat kelompongan pada kes pendakwaan. – KOSMO! ONLINE