FLORIDA – Lionel Messi dan Inter Miami terpaksa membayar harga mahal terhadap kejutan sensasi dilakar mereka selepas berjaya menyambar tiket ke peringkat kalah mati Piala Dunia Kelab (CWC) 2025.
Miami yang sebelum ini tidak diletakkan harapan besar sebelum kejohanan bermula, berjaya muncul dua pasukan terbaik Kumpulan A bersama gergasi Brazil, Palmeiras.
Malangnya, Miami mensia-siakan kelebihan dua gol apabila membenarkan Palmeiras melakukan kebangkitan lewat permainan untuk mencatat seri 2-2 di Stadium Hard Rock semalam.
Seandainya menang, Miami akan berdepan naib juara Kumpulan B, Botafogo dari Brazil tetapi keputusan seri menyaksikan wakil Amerika Syarikat itu perlu menentang Paris Saint-Germain di pusingan 16 pada 29 Jun ini.
Pengendali Miami, Javier Mascherano kecewa kelebihan dua gol daripada Tadeo Allende dan Luis Suarez berjaya disamakan oleh Palmeiras menerusi jaringan Paulinho serta Mauricio pada minit ke-80 dan 87.
“Malangnya kami terlepas untuk memenangi perlawanan ini yang sebenarnya sudah pun dalam genggaman kami. Ia berpunca daripada kegagalan mengekalkan intensiti pada tahap tinggi menentang lawan yang hebat.
“Namun, saya tetap berbangga kerana para pemain benar-benar menunjukkan kesungguhan tinggi untuk meletakkan pasukan berada pada tahap ini berbanding status kami sebagai underdog.
“Tiada pasukan yang mudah di sini, apa lagi bertemu juara Eropah (Paris Saint-Germain). Kami akan berikan tentangan terbaik,” katanya. – AGENSI