MUAR – Seorang bapa yang baharu beberapa bulan keluar penjara terkedu apabila rumahnya diserbu polis ketika dia dan anaknya sedang memproses ekstasi di dalam sebuah bilik di sebuah rumah di Bukit Treh di sini, Isnin lalu.
Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, lelaki berusia 49 tahun itu dicekup bersama anaknya berusia 23 tahun dicekup dalam operasi bermula pukul 4 petang.
Menurutnya, dalam serbuan itu, polis menemui serbuk ekstasi lebih 6,389 gram (g) bernilai RM1.06 juta.
“Modus operandi dua beranak itu ialah mereka menyewa rumah di kawasan perumahan dijadi markas untuk memproses dadah.
“Mereka proses dadah ini secara tradisional yang mana mereka mampatkan serbuk ekstasi dengan menggunakan lesung batu.
“Sebaik selesai memproses, dua beranak itu kemudiannya membungkus dalam bentuk peket seperti serbuk minuman ‘3 in 1’ untuk dijual kepada pelanggan yang disasarkan,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar di sini hari ini.
Raiz Mukhliz berkata, siasatan awal mendapati rumah sewa itu disewa sejak dua tahun lalu dan mereka mula melakukan aktiviti memproses dadah itu sejak Februari lalu.
Katanya, semakan mendapati suspek pertama memiliki lima rekod lampau dan pernah dipenjara atas kesalahan dadah manakala anaknya, tiga rekod berkaitan kes dadah.
“Kita sedang menyiasat dari mana mereka mendapat bekalan dadah terbabit untuk diproses.
“Dadah yang dipeket itu akan dijadikan jus yang mana menjadi pilihan bagi mereka yang ingin berhibur. Dadah itu boleh digunakan lebih 2,000 penagih,” katanya.
Tambahnya, dalam serbuan itu, polis turut merampas peralatan digunakan untuk memproses dan membungkus dadah. Turut disita sebuah kereta dan motosikal dengan nilaian ialah RM20,000.
Ujian saringan air kencing mendapati kedua-dua suspek positif methampethamin dan kedua-dua suspek direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15 (1) (a) akta sama.-KOSMO! ONLINE