LEICESTER – Bekas bintang Tottenham Hotspur, Gareth Bale mengesahkan bahawa beliau dan sebuah konsortium yang diketuainya berminat untuk membeli pemilikan kelab Cardiff City dan membawa semula pasukan kembali ke Liga Perdana Inggeris.
Bale yang sudah bersara daripada bola sepak sejak dua tahun lalu dengan pasukan terakhir diwakili Los Angeles FC percaya bahawa usaha tersebut tidak mudah apabila kemungkinan bidaan mereka ditolak pemiliki Cardiff yang juga warga Malaysia, Vincent Tan.
Bagaimanapun, Bale mengakui impian tersebut tidak akan padam dan akan meneruskan usaha tersebut untuk mengembalikan kegemilangan pasukan yang sedang beraksi di divisyen ketiga saingan di England.
“Cardiff adalah kelab di tempat saya membesar dan bapa saudara saya juga pernah beraksi dengan pasukan itu. Untuk menyertai pasukan yang menjadi pemilik kelab itu adalah ibarat mimpi yang menjadi nyata.
“Kelab ini sangat dekat di hati saya. Saya sangat berbesar hati sekiranya diberikan peluang untuk membantu Cardiff ke saingan Liga Perdana Inggeris semula. Mungkin anda akan melihat banyak lagi perkembangan akan berlaku,” katanya.
Bale sebelum ini turut dikaitkan dengan pengambilalihan Plymouth Argyle, namun berita mengenai minat terhadap Cardiff hanya selepas seminggu rakan sepasukannya di Real Madrid, Luka Modric berjaya mendapatkan saham Swansea.
Cardiff menamatkan saingan Liga Kejuaraan di kedudukan tercorot daripada 24 pasukan musim lalu menyebabkan mereka terpaksa turun ke Liga 1 dan ia merupakan kali pertama sejak 2003. – AGENSI