JAKARTA – Seorang pelancong terperangkap di dalam lubang sebuah gunung berapi aktif di Pulau Lombok selama tiga hari, lapor portal berita The Sun semalam.
Penari tiang Brazil, Juliana Marins, 26, tergelincir lalu terjatuh ke dalam lubang di lereng gunung kedua tertinggi di Indonesia, Gunung Rinjani. Dia mendaki gunung berapi setinggi 3,726 meter itu pada Sabtu lepas.
Wanita itu dilaporkan menjerit apabila terjatuh dan berguling hampir 305 meter ke bawah cerun sebelum berhenti di gaung berbatu di lereng kawah Rinjani.
Rakaman dron memaparkan Juliana terkandas di dalam lubang gunung berapi itu dan kelihatan tidak bertenaga serta terdesak untuk mendapatkan bantuan.
Beberapa pelancong lain mendengar jeritan meminta tolong Juliana ketika mereka mendaki gunung tersebut.
Dia terbaring di dalam lubang dan masih hidup tetapi tidak dapat memanjat untuk keluar dari kawah tersebut.
Pihak berkuasa masih berusaha untuk mengeluarkannya dari lubang itu.
Jurucakap Polis Lombok Timur, Nikolas Osman menjelaskan bahawa Juliana adalah sebahagian daripada kumpulan yang menuju ke puncak Rinjani. – AGENSI