WASHINGTON – Presiden Donald Trump berkata hari ini bahawa gencatan senjata Iran-Israel masih bertahan, sejurus selepas beliau mencarut dan memarahi Tehran serta Tel Aviv kerana melanggar gencatan senjata.
Dalam deklarasi segera, Presiden berumur 79 tahun itu kemudian menyiarkan kenyataan di laman Truth Social: “Gencatan senjata berkuat kuasa.”
“Israel tidak akan menyerang Iran. Semua pesawat tempur akan berpatah balik dan pulang ke pangkalan.Tiada siapa akan cedera,” tambahnya.
Terdahulu, beliau menyelar Iran dan sekutunya, Israel kerana mencabuli gencatan senjata yang beliau umumkan lewat semalam.
“Kedua-dua negara berperang begitu lama dan begitu sengit sehingga mereka tidak tahu (mencarut) apa yang mereka lakukan, anda faham tak?,” Trump berkata kepada wartawan di White House.
“Iran melanggar gencatan senjata tetapi Israel mencabulinya juga.
“Jadi saya tidak gembira dengan mereka. Saya tidak gembira dengan Iran juga. Namun, saya benar-benar tidak gembira jika Israel melancarkan serangan pagi ini.
“Israel mesti bertenang. Israel ini, apabila kami mengumumkan gencatan senjata, mereka menggugurkan bom sebanyak-banyaknya,” tambah Trump.
Beliau meluahkan kemarahannya di hadapan wartawan ketika hendak menaiki helikopter rasmi, Marine One, dalam perjalanan ke sidang NATO. – AFP