PETALING JAYA – Gara-gara tersalah memasukkan gear, sebuah kenderaan yang dipandu warga emas merempuh bank dalam kejadian di Jalan 21/11A, Seksyen 21 di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Ja’afar berkata, kejadian pukul 3 petang itu berlaku ketika pemandunya yang berusia 78 tahun baru selesai berurusan di bank tersebut.
Katanya, siasatan mendapati warga emas itu secara tidak sengaja memasukkan gear menyebabkan keretanya meluru ke depan dan melanggar cermin premis tersebut.
“Ekoran kejadian itu, premis dan kereta warga emas tersebut mengalami kerosakan, namun tiada kecederaan dilaporkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau mengingatkan pengguna jalan raya supaya sentiasa berhati-hati dan mematuhi undang-undang bagi mengelakkan kemalangan. – KOSMO! ONLINE