fbpx

Tanah Duta Enclave kekal milik kerajaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tanah di Duta Enclave

PUTRAJAYA – Kerajaan dan Pendaftar Hak Milik Tanah Wilayah Persekutuan berjaya dalam rayuan bagi mengetepikan perintah pemindahan hak milik 263 ekar (106 hektar) tanah di Duta Enclave kepada Semantan Estate (1952) Sdn. Bhd. (SESB).

Keputusan sebulat suara itu dibuat panel tiga hakim yang diketuai Datuk Lee Swee Seng selepas membenarkan rayuan kerajaan.

Dua lagi hakim yang turut bersidang ialah Datuk Azimah Omar dan Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh.

Dalam prosiding sama, panel turut menolak rayuan silang SESB supaya tanah berkenaan dipindah milik kepadanya.

Meskipun kerajaan kekal dalam milikan tanah tersebut, mahkamah mengarahkan pampasan dibayar kepada SESB yang akan ditaksirkan oleh Mahkamah Tinggi dalam tempoh 90 hari dengan bantuan pakar.

Pada 7 Ogos tahun lalu, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Datuk Ahmad Shahrir Mohd. Salleh memerintahkan kerajaan memindah milik tanah berkenaan kepada SESB selepas membenarkan saman pemula syarikat itu terhadap Pendaftar Hak Milik Wilayah Persekutuan selaku defendan.

Tanah terbabit, yang terletak di lokasi utama Jalan Duta menempatkan antaranya Kompleks Lembaga Hasil Dalam Negeri, beberapa bangunan kerajaan, Stadium Hoki Nasional, Institut Kefahaman Islam Malaysia dan Masjid Wilayah Persekutuan.

Ahmad Shahrir memerintahkan Pendaftar Hak Milik Wilayah Persekutuan untuk melaksanakan syarat yang diminta dalam tempoh tiga bulan bermula 7 Ogos 2024 selain memerintahkan kerajaan membayar kos RM50,000.

Hakim itu turut memerintahkan defendan supaya mendaftarkan plaintif (Semantan Estate) sebagai pemilik tanah, melaksanakan semua surat cara pindah milik serta mengeluarkan dokumen hak milik tanah tanpa bebanan dan liabiliti atas nama plaintif.

Pada 2003, Semantan Estate memfailkan saman terhadap kerajaan atas dakwaan pencerobohan yang berpunca daripada pengambilan tanah secara tidak sah daripada syarikat itu.

Kemudian pada 2009, Pesuruhjaya Kehakiman Zura Yahya memutuskan bahawa Semantan Estate mengekalkan kepentingan benefisialnya terhadap tanah seluas 263.27 ekar itu yang diambil alih oleh kerajaan secara tidak sah serta melakukan pencerobohan ke atas tanah terbabit.

Kerajaan kemudian mengemukakan rayuan namun ditolak pada 18 Mei 2012 dan pada 21 November 2012, Mahkamah Persekutuan menolak permohonan kerajaan bagi kebenaran merayu keputusan itu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI