PETALING JAYA – Pelakon dan penyanyi Fattah Amin percaya setiap individu mempunyai cara tersendiri dalam meneruskan kehidupan selepas melalui fasa perpisahan.
Menurut Fattah atau nama penuhnya Abdul Fattah Mohd. Amin, 35, orang ramai tidak seharusnya mudah menjatuhkan hukum sekiranya mana-mana individu termasuk dirinya mudah ‘move on’ daripada kisah silam mereka.
“Semua yang berlaku ada hikmah dan soal jodoh pun sudah ditetapkan sekali.
“Apa yang saya lalui ketika ini adalah takdir dan jalan yang Allah SWT sudah tetapkan.
“Jadi saya ‘move on’ atau dapat jodoh cepat atau lambat, semuanya diserahkan pada Allah,” katanya ketika ditemui pada majlis pelantikannya sebagai duta produk minuman tenaga Orang Kampung (OK) di sini, hari ini.
Fattah bagaimanapun tidak menafikan segelintir lelaki cepat melupakan kisah sila berbanding wanita namun bergantung kepada situasi yang mereka lalui sebelum ini.
“Kita tak boleh menyamakan cara setiap orang ‘move on’, sebab setiap orang melalui fasa kehidupan berlainan.
“Mungkin ada sebab mereka cepat melupakan, kena tanya dia balik. Ada pula yang lambat, bagi saya cepat atau lambat terpulang pada individu.
“Sama juga seperti jodoh, ada yang datang cepat dan ada jodoh yang lambat,” katanya lagi.
Berkongsi keterujaan, Fattah bersyukur apabila dilantik menjadi duta produk minuman tenaga OK yang menggunakan bahan semula jadi dan mampu membantu memberi tenaga tambahan kepada pembelinya.
“Keluarga saya memang pelanggan produk minuman tenaga sejak dulu yang berasaskan tongkat ali dan kacip fatima.
“Jadi, bila ditawarkan jadi duta, memang saya sangat berbesar hati ditambah pula produk ini bagus dan sudah lama berada di pasaran,” ujarnya.
Jelasnya, produk tersebut memberi tenaga tambahan kepadanya yang menjalani kehidupan aktif terutama sebagai selebriti. – KOSMO! ONLINE