WASHINGTON – Sebuah kisah cinta bertukar mimpi ngeri selepas pihak berkuasa mendedahkan bahawa lelaki yang mati akibat dipanah petir di pantai di negeri Florida sebenarnya sedang berbulan madu, lapor portal berita Fox News semalam.
Perkhidmatan Keselamatan Awam Pantai Volusia mengesahkan kepada stesen televisyen WTVG bahawa mangsa iaitu seorang lelaki berusia 29 tahun dari Colorado sedang berbulan madu bersama pengantin perempuan di pantai tersebut.
Dia dipanah petir petang Jumaat lepas ketika berdiri di dalam air pada kedalaman buku lali.
Pengarah Keselamatan Pantai Volusia, Tammy Malphurs berkata, mangsa dibawa ke hospital tempatan dalam keadaan kritikal.
Katanya, mangsa kemudian meninggal dunia akibat kecederaannya.
Syerif County Volusia, Mike Chitwood menulis di laman Facebook: “Takziah atas kehilangan tragis seorang lelaki muda di sini semasa berbulan madu bersama isterinya.”. – AGENSI