fbpx

STPM: Tidak pernah sama sekali kami kata begitu – Fadhlina

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Fadhlina ketika sesi sidang media pada Majlis Penyampaian Anugerah Pelajar Terbaik STPM, MUET dan SKBMW 2024 di Dewan Besar Majlis Peperiksaan Malaysia, Selayang, hari ini. - Foto oleh SYAKIR RADIN

GOMBAK – Kementerian Pendidikan (KPM) tidak pernah mengeluarkan pekeliling yang mengatakan bahawa gred A dan A- dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dianggap sebagai ‘tidak cukup cemerlang’ untuk kemasukan automatik ke program matrikulasi kerajaan.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, pihak kementerian telah melakukan proses pemilihan dengan sangat adil dalam memastikan semua pelajar mendapat peluang berdasarkan keutamaan dan kuota yang disediakan.

“Tidak pernah sama sekali kita menyebut begitu. Yang kita uruskan ketika ini tentang kemasukan matrikulasi. Untuk makluman, tahun ini adalah tahun paling tenang kerana kita telah menguruskannya dengan sangat baik.

“86 peratus pelajar layak masuk matrik ni adalah yang 9A, yang 14 peratus sahaja 10A. Jadi, kena berlaku adil kepada anak yang 86 peratus ni,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Anugerah Pelajar Terbaik Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), ‘Malaysian University English Test’ (MUET) serta Ujian Sijil Kecekapan Bahasa Melayu bagi Warganegara Asing (SKBMW) 2024 di Dewan Besar Majlis Peperiksaan Malaysia, Bandar Baru Selayang, hari ini.

Tambah beliau, kementerian juga sedang menyusun semula supaya pelajar yang memperoleh keputusan sama ada 10A atau 9A+, akan mendapat tempat berdasarkan merit masing-masing.

“Semua ini akan ada tempat mereka berdasarkan merit masing-masing. Yang automatik 10A+ untuk subjek-subjek itu betul, memang dasar itu kita kekalkan.

“Yang lain, ada penilaian berdasarkan merit dan sebagainya jadi jangan risau. Kita bagi keutamaan kepada itu namun, tak pernah kata A- ni tidak layak atau tidak boleh mohon masuk matrikulasi,” ujarnya.

Terdahulu, terdapat dakwaan yang mengatakan KPM pada 30 April lalu mengeluarkan pekeliling hanya pelajar mendapat keputusan SPM 10A dengan A+ dan A saja akan diberi tawaran automatik menyertai program matrikulasi bagi sesi 2025/2026. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI