fbpx

STPM: Anak pemandu lori, tukang jahit raih PNGK 4.00

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Fatin Nur Hanis (kanan) dan rakan karibnya, An- Nisa' menunjukkan keputusan STPM 2024 dengan keputusan PNGK 4.00 ketika ditemui di SMK Tengku Panglima Raja, Pasir Mas hari ini. FOTO KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN

PASIR MAS – Seorang anak kepada pemandu lori berjaya mencapai keputusan cemerlang dengan memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 4.00 dalam peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2024 yang diumumkan hari ini.

Fatin Nur Hanis Zulkifli, 20, yang bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Panglima Raja di sini berkata, kesusahan hidup bukan menjadi penghalang untuknya berjaya.

Menurutnya, dia sudah nekad untuk belajar bersunguh-sungguh kerana mahu melanjutkan pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana Muda di Universiti Sains Malaysia.

“Keputusan ini sudah memberi peluang yang besar kepada saya untuk mencapai cita-cita sebagai guru.

“Kejayaan ini adalah hadiah yang cukup bermakna buat ayah, Zulkifli Abdul Hamid, 50, dan ibu, Ilani Ismail, 50,” katanya ketika ditemui pemberita di SMK Tengku Panglima Raja di sini hari ini.

Menurut anak keempat daripada enam beradik itu, kejayaannya itu hasil belajar bersama-sama dengan rakan karibnya, An- Nisa’ Mustapa, 21 yang juga turut memperoleh PNGK 4.00.

Sementara itu, An- Nisa’ yang merupakan anak kepada tukang jahit berkata, dia berjaya memperoleh keputusan PNGK 4.00 meskipun lewat setahun mendaftar ke tingkatan enam.

Menurutnya, selepas mendapat keputusan 4A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), dia mengikuti program Asasi Pengajian Islam di sebuah universiti swasta.

“Saya hanya sempat belajar lapan bulan sahaja dan mengubah fikiran untuk ke tingkatan enam. Saya rugi setahun kerana silap membuat keputusan, namun berjaya menebus kesilapan itu dengan memperoleh keputusan STPM yang cemerlang.

“Kejayaan ini didedikasikan kepada ibu, Sabariah Omar, 58, yang banyak berkorban untuk membesarkan saya dengan pendapatan sebagai tukang jahit selepas ayah meninggal dunia lima tahun lalu,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI