PUTRAJAYA- Tiada rakyat Malaysia dilaporkan terjejas dalam insiden serangan di pangkalan Al Udeid di Qatar.
Wisma Putra berkata, Kementerian Luar Negeri sedang memantau rapi situasi keselamatan semasa di Qatar.
“Keselamatan dan kebajikan warga Malaysia kekal menjadi keutamaan utama kerajaan.
“Kementerian Luar melalui Kedutaan Besar Malaysia di Doha sedang menjalinkan komunikasi rapat dengan pihak berkuasa tempatan dan rakyat Malaysia yang berdaftar serta terus memantau perkembangan semasa di lapangan,” katanya hari ini.
Katanya, Kementerian Luar bersama-sama agensi berkaitan akan terus menilai keadaan dan mengambil langkah-langkah yang bersesuaian bagi memastikan keselamatan rakyat Malaysia di Qatar.
“Makluman terkini akan disalurkan melalui saluran media rasmi sekiranya perlu.
“Rakyat Malaysia di Qatar dinasihatkan untuk sentiasa berwaspada, mematuhi nasihat keselamatan tempatan dan terus berhubung dengan kedutaan bagi mendapatkan maklumat dan nasihat terkini,” katanya.
Ahli keluarga terdekat rakyat Malaysia di rantau tersebut boleh menghubungi kementerian untuk maklumat lanjut di talian +603 8887 4570 atau melalui e-mel di [email protected].
Dalam perkembangan sama, Kedutaan Besar Malaysia di Doha, Qatar memaklumkan bahawa ruang udara di negara itu telah dibuka semula.
Katanya, rakyat Malaysia merancang melakukan perjalanan dinasihatkan menyemak maklumat terkini mengenai status penerbangan bagi memastikan kelancaran perjalanan. – KOSMO! ONLINE