KOTA TINGGI – Seorang pemuda maut, manakala dua cedera dalam kemalangan di Kilometer 60, Jalan Johor Bahru–Mersing, di sini malam tadi.
Dalam kejadian pukul 11.35 malam itu, mangsa, Muhammad Safuan Mat Sari, 34, yang memandu kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Honda Stream disahkan meninggal dunia di lokasi akibat parah di beberapa bahagian badan.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Yusof Othman berkata, nahas melibatkan Honda Stream, lori dan trak pikap Toyota Hilux.
“Siasatan mendapati kenderaan dipandu mangsa dalam perjalanan menuju ke Kota Tinggi dipercayai hilang kawalan sebelum masuk ke laluan bertentangan.
“Lori dari arah Kota Tinggi sempat mengelak ke kiri, namun bahagian kanan kereta mangsa bergesel dengan kenderaan berat itu sebelum bertembung Toyota Hilux yang berada di belakang lori,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Ekoran kemalangan itu, penumpang kereta lelaki berusia 33 tahun cedera ringan. Pemandu trak pikap berusia 34 tahun cedera parah di kepala dan dirawat di Hospital Kota Tinggi. Pemandu lori berusia 50 tahun pula tidak cedera.
Seramai 16 anggota Balai Bomba Penyelamat Kota Tinggi dan Bandar Penawar terlibat dalam operasi tersebut. – KOSMO! ONLINE