JAKARTA – Sebuah video tular di media sosial Indonesia memaparkan detik pengantin nyaris terjatuh ke dalam kolam renang ketika pentas pelamin roboh, lapor laman berita Lambe Turah hari ini.
Dalam kejadian pada Ahad lalu, majlis perkahwinan tersebut diadakan di ruang terbuka, manakala pentas pelamin didirikan betul-betul di hadapan kolam renang.
Ketika beberapa tetamu naik ke pentas pelamin, sebilangan kerusi terjatuh, menyebabkan pentas pelamin roboh.
Pengantin nyaris terjatuh ke dalam kolam, namun sempat disambut oleh tetamu lain.
“Alhamdulillah, tiada apa-apa,” kata pengacara majlis yang cuba mengawal keadaan panik.
Video itu menjadi tular dan menerima pelbagai komen daripada pengguna media sosial, yang menyifatkan lokasi pelamin sebagai tidak sesuai kerana terlalu hampir dengan kolam. – AGENSI