TELUK INTAN – Mahkamah Majistret di sini hari ini mengeluarkan waran tangkap ke atas pemilik syarikat lori yang terlibat dalam nahas meragut nyawa sembilan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan FRU) di sini, bulan lalu.
Perintah itu dikeluarkan Majistret Naidatul Athirah Azman selepas Timbalan Pendakwa Raya, Izzuddin Fakri Hamdan memohon waran tangkap ke atas individu tersebut kerana gagal hadir pada prosiding hari ini.
Difahamkan, pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menyerahkan saman kepada pemilik syarikat lori untuk hadir ke mahkamah bagi tujuan pendakwaan.
Prosiding mahkamah hari ini dipercayai berkaitan pendakwaan terhadap syarikat itu di bawah Seksyen 57 dan 58 Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) 2010.
Mahkamah menetapkan 29 Julai ini untuk sebutan bagi waran tangkap.
Pada 30 Mei lalu, APAD dilaporkan berkata, lesen pengendali syarikat lori muatan batu, Tashveen Trading dibatalkan berkuat kuasa 29 Mei lalu.
Dengan pembatalan lesen itu, syarikat berkenaan tidak dibenarkan untuk mengendali sebarang perkhidmatan menggunakan mana-mana kenderaan yang dilesenkan di bawah lesen pengendali tersebut. – KOSMO! ONLINE