KOTA BHARU – Trio yang pernah digeruni di persada Liga Malaysia (Liga M) suatu ketika dahulu bakal bergabung kembali bagi memperkuatkan jentera serangan pasukan Ex-The Red Warriors (TRW) Treble untuk menentang Double Treble Kedah dalam satu perlawanan persahabatan amal di Stadium Sultan Muhammad IV, Jumaat ini.
Bekas penyerang kebangsaan Lubnan, Mohamad Ghaddar akan kembali bergandingan dengan bekas penyerang prolifik, Nor Shahrul Idlan Talaha atau Matyo dan pemain lagenda, Indra Putra Mahayuddin.
Ketua Pegawai Eksekutif PUC Sport, Mohd. Shukry Pauzi selaku penganjur berkata, kehadiran trio berkenaan bakal menggamit kembali kenangan di era kegemilangan TRW sekali gus menjadi daya penarik utama kehadiran penyokong serta pemimat bola sepak Kelantan ke stadium.
“Kehadiran Ghaddar bakal memecahkan suasana Stadium Sultan Muhammad IV kerana ramai merindui aksinya di atas padang. Kita ada masa cukup singkat untuk mempromosikan perlawanan persahabatan amal ini tetapi diharap ia bukan faktor penghalang kehadiran penyokong.
“Kita juga sedang berbincang dengan Dickson Nwakaeme sekiranya dia sudi bermain sekali lagi pada perlawanan tersebut seandainya masih berada di Kelantan ketika itu,” katanya.
Mengulas lanjut, Mohd. Shukry mengesahkan pihaknya telah mengeluarkan jersi khas sempena perlawanan persahabatan tersebut yang menggabungkan corak-corak jersi di era kegemilangan TRW bermula tahun 2009 hingga 2015.
“Jersi ini turut dihiasi dengan tandatangan 18 bekas pemain Kelantan dan amat sesuai dipakai atau dijadikan koleksi serta tanda kenangan oleh penyokong-penyokong setia TRW,” ujarnya.