ALOR SETAR – Kedah Darul Aman FC (KDA FC) kini 100 peratus menjadi milik Tan Sri Dr. Mohd Daud Bakar setelah tiga lagi pemegang sahamnya sebelum ini melepaskan pegangan saham masing-masing secara berperingkat kerana tidak ingin meneruskan pemilikan.
Menurut Mohd Daud, dua pemegang saham sebelum ini iaitu Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Kedah, Muhammad Radhi Mat Din dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kedah Darul Aman (KDA) FC, Khamal Idris Ali melepaskan pegangan saham pada Oktober tahun lalu.
Katanya, seorang lagi pemegang saham, Zulkifli Che Haron yang juga bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), menyerahkan pegangan sahamnya pada 19 Jun lepas.
“Seperti mana kita tahu, KDA FC ini telah diswastakan sejak 2020 tetapi dimiliki KFA sepenuhnya pada masa itu sebelum dipecahkan kepada empat pemegang saham. Jadi KDA FC yang wujud pada hari ini, lahir dari rahim KFA yang boleh dianggap sebagai ‘ibu’.
“Tapi lama kelamaan kita tahu, anak ini mungkin tak disukai dan anak baharu dalam keluarga tersebut. Itu biasa dalam kehidupan kerana sesebuah keluarga boleh memiliki ramai anak tetapi harapnya anak pertama itu, tidaklah dibiarkan sebaliknya dijaga betul-betul dan turut diberi apa yang perlu untuk berjaya.
“Saya harap semua pihak dapat memahami bahawa KDA FC memang baru ‘diperbadankan’ dan diuruskan pemegang saham tetapi masalah berlaku dan semua pemegang saham telah mengundur diri dan saya terpaksa ambil peranan, sekadar kemampuan saya untuk mencuba segala yang termampu,” katanya. – KOSMO! ONLINE