KAPTEN skuad hoki kebangsaan, Marhan Jalil mengakui tahap konsistensi yang masih belum stabil menjadi kekangan utama Speedy Tigers untuk melangkah lebih jauh dalam kempen Piala Negara-Negara FIH 2025.
Menurutnya, meskipun pasukan menunjukkan semangat tinggi dan memberi saingan dalam setiap perlawanan, tetapi keupayaan untuk kekal fokus dari awal hingga akhir perlu diperbaiki segera.
“Kalau nak bezakan pasukan yang masuk final dengan kita, mereka lebih konsisten setiap permainan. Kita kena jadi pasukan yang dari awal ke akhir beri yang terbaik,” katanya.
Tambah Marhan, kelemahan paling ketara dapat dilihat ketika separuh masa kedua, apabila pasukan kerap melepaskan gol walaupun sudah berada di depan dalam kedudukan jaringan.
“Cuma keberuntungan yang kurang, terutama di separuh kedua. Kita selalu melepaskan gol walaupun dah mendahului. Itu yang kita perlu kaji semula,” ujar pemain berusia 35 tahun itu.
Begitupun, pertahanan berpengaruh itu tetap berbangga dengan usaha setiap pemain terutama dalam menghadapi saingan pasukan-pasukan kuat sepanjang kejohanan berlangsung.
“Saya tak nafikan semua pemain, termasuk pemain muda telah berikan yang terbaik. Setiap kali ketinggalan, kami tetap berjuang untuk bangkit,” tambah marhan.
Menurut Marhan, dua tugasan penting menanti pasukan selepas ini iaitu Piala Asia dan Piala Sultan Azlan Shah sambil menegaskan kepentingan semua pemain untuk kekal bersedia secara mental serta fizikal.
Sebagai tonggak senior, Marhan akan terus memainkan peranan membimbing pemain muda supaya lebih cepat menyesuaikan diri dengan tuntutan permainan di pentas antarabangsa.
“Peranan saya mudah, guide pemain muda. Kami pemain senior akan cuba beri yang terbaik supaya mereka cepat belajar dan capai intensiti tinggi dalam perlawanan antarabangsa,” ujarnya.
Tambahnya, prestasi Speedy Tigers akan terus dinilai dari sudut konsistensi dan kesediaan untuk bersaing secara kompetitif dalam semua kejohanan akan datang.