PETALING JAYA – Dua penerbangan pulang jemaah haji ke tanah air dijadualkan semula atas faktor keselamatan dan perkembangan semasa operasi penerbangan di Asia Barat.
Lembaga Tabung Haji (TH) dalam kenyataannya hari ini berkata, langkah itu dibuat atas nasihat syarikat penerbangan dan bagi memastikan segala urusan berjalan lancar serta selamat.
“Penerbangan hari ini yang akan mengalami penjadualan semula adalah KT043 (MH8301) pukul 5.10 pagi (waktu Arab Saudi) dari Madinah dan KT034 (MH8291) pukul 6.40 pagi (waktu Arab Saudi) dari Jeddah.
“Kedua-dua penerbangan carter haji ditunda sekurang-kurangnya 24 jam dari jadual asal. Penjadualan baharu sedang disusun dengan mengambil kira pelbagai faktor semasa termasuk penyelarasan trafik udara dan keperluan logistik,” katanya hari ini.
Menurut TH, kesemua jemaah yang terjejas ditempatkan sementara di hotel-hotel sekitar Jeddah dan Madinah bagi menjamin kebajikan dan keselesaan mereka sementara menunggu penerbangan pulang.
“Koordinasi di lapangan terbang sedang giat dijalankan antara pihak syarikat penerbangan dan TH bagi memastikan kelancaran urusan logistik jemaah.
“Setakat ini sebanyak 39 penerbangan tiba di tanah air dengan baki 61 penerbangan lagi.
“Sebarang perkembangan lanjut termasuk perubahan jadual oleh syarikat penerbangan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” katanya. -KOSMO! ONLINE.