Teknologi robotik semakin berkembang pesat dalam pelbagai bidang bagi membantu manusia menjalani kehidupan dengan lebih efisien.
Demi merealisasikan impian agar inovasi terus maju, syarikat pengeluar motosikal terkenal dari Jepun, Kawasaki telah memperkenalkan kenderaan robotik berasaskan hidrogen dikenali sebagai Corleo pada Expo Osaka Kai 2025 baru-baru ini.
Memetik portal SuperCarBlondie, Corleo memiliki rekaan yang diinspirasikan daripada haiwan iaitu kambing gurun liar atau ibex yang boleh ditunggang manusia seperti kuda.
Kenderaan robotik itu memiliki potensi besar dalam pelbagai sektor termasuk logistik, pembinaan dan pertanian.
Reka bentuknya yang menyerupai haiwan berkaki empat membolehkan Corleo bergerak stabil di atas permukaan tidak rata dan berupaya membawa muatan sehingga mencecah 100 kilogram (kg).
Kehadiran teknologi itu membuktikan transformasi industri kenderaan robotik masa depan memiliki kemampuan hebat.
Corleo juga menjadi sebahagian daripada inisiatif teknologi masa depan Jepun yang bukan sahaja bertujuan mengangkut manusia, malah membawa barangan ke kawasan pedalaman dan sukar dilalui oleh kenderaan.
Kemampuan Corleo yang boleh melalui laluan tidak rata juga dapat digunakan untuk tujuan bantuan keselamatan ketika bencana alam.
Menurut Pengurus Besar Bahagian Robotik Kawasaki Heavy Industries, Noboru Takagi, Corleo yang sebelumnya dipanggil Bex itu sememangnya dibangunkan untuk memenuhi keperluan laluan lasak dan tidak rata seperti kawasan pergunungan atau tebing curam.
“Kami membangunkan Corleo supaya menjadi kenderaan robotik serba guna yang boleh bergerak di kawasan tidak sesuai untuk roda.
“Mobilitinya yang hibrid dengan memiliki gabungan kaki seperti haiwan dan roda (kenderaan) membolehkan Corleo menyesuaikan diri dalam pelbagai bentuk permukaan mengikut keperluan,” katanya memetik laporan TechNews.

Sementara itu, Takeshi memberitahu Carleo merupakan sebahagian usaha mereka untuk membangunkan kenderaan robotik menggunakan gas hidrogen.\
“Gas hidrogen memiliki sifat yang ringan. Ia merupakan tenaga bersih yang boleh digunakan dalam robot.
“Dahulu robot dilihat sebagai alat permainan kanak-kanak, tetapi sekarang ia menjadi cerminan kepada revolusi yang lebih menyakinkan.
“Robot dapat membantu perkembangan setiap industri termasuk menyalurkan bantuan ketika bencana,” ujarnya.
Penggunaan gas hidrogen sebagai sel bahan api untuk menghasilkan kuasa elektrik menjadi solusi terbaik yang bukan saja bersifat mesra alam, malah mampu bertahan untuk tempoh masa panjang.
Menurut portal Science Space, kenderaan robotik hidrogen mampu bertahan lebih lama berbanding menggunakan kuasa bateri lithium-ion biasa.
“Mengisi semula gas hidrogen hanya mengambil masa beberapa minit saja berbanding pengecasan bateri yang boleh mengambil masa berjam-jam.
“Gas ini hanya menghasilkan wap air, tiada pencemaran karbon. Jadi, pastinya ia menjimatkan kos penebusan karbon atau penalti alam sekitar dalam jangka masa panjang.
“Sifat fizikalnya yang ringan membolehkan robotik bergerak dan mengekalkan keseimbangan jika melalui kawasan tidak rata,” kata Pakar Teknologi Sel Bahan Api dan Penyelidikan Tenaga Bersih, Markus Klein.
Tambahnya, penggunaan hidrogen dalam robotik mobiliti seperti Corleo membuktikan bahawa dunia semakin hampir ke arah teknologi tenaga hijau.
“Hal sains seperti ini kita sering lihat dalam eksperimen sekolah, namun sekarang kita sudah berada di dunia nyata, di mana penyelesaian boleh diadaptasi secara meluas dalam industri sebenar.
“Ini bermakna kita sudah bersedia untuk beralih kepada konsep tenaga boleh diperbaharui.
“Mungkin selepas elektrik, kita dapat melihat kenderaan jenis hidrogen memecut laju di atas jalan raya,” katanya.

Usaha menggunakan hidrogen itu juga sejajar dengan matlamat Kawasaki yang menginginkan pembangunan terlaksana tanpa menghasilkan pelepasan karbon.
Sebagai jenama yang sudah lama terlibat dalam pembangunan teknologi tenaga dan robotik, Kawasaki melihat usaha mereka sebagai langkah penting untuk masa hadapan.
“Kami bukan saja mahu mencipta robotik pintar, tetapi juga robotik yang bertanggungjawab kepada alam sekitar.
“Diharapkan usaha ini akan menjadi batu loncatan kepada pihak lain untuk merealisasikan binaan robotik yang mesra alam,” ujar jurucakap syarikat tersebut.
Sementara itu, Corleo dilihat bakal memberi manfaat kepada golongan petani untuk aktiviti pertanian di luar bandar dan kawasan yang sukar diakses dengan jentera berat.
Corleo juga dikatakan mampu membantu membawa hasil tuaian atau baja ke lokasi yang sukar dicapai, selain sifatnya yang tahan lasak.
Menurut jurucakap syarikat itu lagi, dalam sektor logistik, Corleo boleh digunakan di kawasan gudang, pelabuhan dan tempat penghantaran yang memerlukan pergerakan fleksibel.
“Dalam situasi bencana pula, ia boleh membawa peralatan kecemasan atau bekalan makanan kepada mangsa yang terperangkap walaupun di kawasan tidak stabil.
“Tidak seperti robot industri konvensional, Corleo direka dengan rupa dan pergerakan yang tidak menakutkan. Jadi, ia sesuai untuk persekitaran yang melibatkan interaksi dengan manusia.
“Kepala dan badannya yang dilengkapi lampu diod pemancar cahaya (LED) dapat memberi isyarat jelas kepada pengguna tentang arah pergerakan dan status operasi robot,” katanya.
Menariknya, kenderaan robotik itu boleh dinaiki oleh seorang individu dewasa.
“Kenderaan robotik ini mampu menyesuaikan ketinggian badannya mengikut beban atau permukaan laluan.
“Ia juga sesuatu yang berpotensi untuk digunakan di taman tema, lapangan golf atau sektor pelancongan,” kata jurucakap itu.
Menyambut baik pembangunan kenderaan robotik itu, Pensyarah Kanan Teknologi Spekulatif dan Inovasi Masa Hadapan Institut Futuristik Eropah, Dr. Elias Moreau berkata, Corleo menjadi cerminan kemajuan dalam kenderaan robotik bergerak.
Malah, ia menandakan peralihan penting ke arah mobiliti pintar yang mampan ketika peningkatan tekanan global terhadap isu perubahan iklim dan kecekapan tenaga.
“Inovasi seperti ini membawa harapan baharu dalam menangani cabaran logistik dan pergerakan masa depan.
“Walaupun masih di peringkat awal, namun Corleo dilihat sebagai simbol perubahan teknologi ke arah lebih bertanggungjawab, lestari dan manusiawi.
“Di tengah gelombang transformasi industri, kehadiran kenderaan robotik seperti Corleo memberi isyarat jelas bahawa dunia sedang bergerak ke arah penggunaan robot dalam kehidupan harian.
“Gabungan antara mobiliti pintar, reka bentuk mesra pengguna dan sumber tenaga bersih menjadikan Corleo sebagai contoh terbaik bagaimana teknologi boleh dimanfaatkan demi masa depan lebih baik,” katanya.














