fbpx

Iqbal: Patuh Syariah, ‘zero’ babak atas katil, sentuh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Darling Ngasri kini lebih selesa menghasilkan drama patuh syariah.

SELEPAS menghasilkan pelbagai genre drama dan filem, penerbit yang juga seorang pelakon, Darling Ngasri kini lebih selesa menghasilkan drama patuh syariah sejak Rona Basphorus yang disiarkan menerusi RTM, Januari lalu.

Menurut Darling atau nama sebenarnya, Nasreen Ngasri, 42, drama yang menampilkan Syafi Tee dan Husna Mustaffa sebagai teraju utama itu mendapat sambutan baik di luar negara terutama Indonesia dan Afrika Selatan.

Oleh yang demikian, Darling berasa terpanggil untuk menghasilkan karya patuh syariah bukan sekadar hiburan tetapi juga mendidik penonton.

Terbaharu, Darling menerbitkan drama Iqbal yang merupakan drama patuh syariah yang ketiga.

“Drama Iqbal tiada adegan bersentuhan dan babak di atas katil antara pelakon lelaki dan wanita. Berdasarkan pengalaman menerusi drama terdahulu, saya yakin ramai penonton suka pendekatan ini.

“Penonton sukakan hero kacak dan pelakon wanita yang berimej islamik. Jadi, untuk drama Iqbal kami mempertaruhkan pelakon Hariz Hamdan, Hazwani Helmi dan Heliza Helmi.

“Meskipun sebuah drama patuh syariah, segala elemen drama dan hiburan masih ada. Masih ada plot orang ketiga, adegan romantis tetapi tanpa bersentuhan dan mesejnya masih lagi sampai,” tutur Darling yang ditemui HibGlam baru-baru ini.

Sambung Darling, Indonesia sudah banyak menghasilkan drama islamik dan patuh syariah yang mendapat sambutan hebat. 

“Percubaan pertama menerusi drama Rona Bosphorus berjaya kerana meraih rating yang tinggi di RTM.

“Sebagai penerbit dan juga pelakon saya percaya penonton lebih selesa menonton drama yang tiada adegan bersentuhan dan babak tidur di atas katil bersama bukan muhrim.

“Setakat ini bersama RTM misi untuk menerbitkan drama patuh syariah tidak ada sebarang masalah. Cuma saya kurang pasti penerimaan stesen televisyen lain,” jelas Darling.

Drama Iqbal sebanyak 30 episod yang turut menjalani penggambaran di Istanbul, Turkiye itu diarahkan oleh Amor Rizan.

Karya Iqbal mengisahkan seorang pelajar tahfiz yang cuba mengejar cita-citanya sebagai seorang pereka fesyen. Drama ini mula ditayangkan sejak 6 Jun lalu setiap Jumaat di TV Okey.

ChatGPT

Dalam pada itu, Darling turut menyelar sikap segelintir penulis skrip kini yang mengambil jalan mudah menggunakan ChatGPT untuk menghasilkan skrip.

Sikap malas itu secara tidak langsung telah menjejaskan kualiti skrip kerana penulis skrip terlalu bergantung kepada ChatGPT walaupun untuk dialog yang mudah.

“Sebagai penerbit saya perlu menghasilkan banyak proposal dan kertas kerja kerana kini terdapat banyak platform untuk menerbitkan drama.

“Tetapi masalah yang dihadapi oleh rata-rata penerbit hari ini adalah kita ketandusan penulis skrip yang berkualiti. Saya pernah menolak beberapa kertas kerja kerana dihasilkan daripada ChatGPT seratus peratus.

“Mereka sangka penerbit tidak boleh kesan, tetapi karya ChatGPT dengan karya asli tidak akan sama. Ini kerana setiap orang memiliki gaya penulisan yang tersendiri,” luah Darling.

Namun begitu, Darling tidak menolak penggunaan teknologi dalam pekerjaan, tetapi terlalu bergantung sehingga hilang idea dan penulisan asli adalah sesuatu yang tidak wajar.

“ChatGPT memang memudahkan kerja, tetapi kerja seni tidak boleh bergantung seratus peratus kepada ChatGPT kerana tidak realistik,” ujarnya menggulung bicara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI