YAN – Empat beranak tergamam apabila hampir keseluruhan bumbung rumah diterbangkan angin kencang dalam kejadian di Kampung Singkir Laut, di sini malam tadi.
Menurut Md. Nazri Abu Bakar, 55, kejadian kira-kira pukul 8.45 malam itu berlaku ketika dia bersama isteri, Ramalini Lamsur, 49, serta dua anak lelaki berusia 31 dan 16 tahun sedang menonton televisyen.
“Kami terdengar deruan angin yang kuat disusuli bunyi bumbung zink menghempas. Waktu itu hati saya sudah berdebar sebelum nampak bumbung terangkat.
“Hanya dalam masa beberapa saat, keseluruhan bumbung zink berserta kerangka kayu hilang diterbangkan angin,” katanya di sini hari ini.
Katanya, dia sekeluarga tergamam seketika sehingga tidak dapat berganjak dari tempat duduk.
“Walaupun terpaksa menanggung kerugian ribuan ringgit, namun saya bersyukur kerana kami tidak mengalami sebarang kecederaan,” ujarnya.
Sementara itu, dalam kejadian ribut tersebut, sebanyak 24 rumah penduduk di empat mukim di daerah ini mengalami kerosakan. – KOSMO! ONLINE