PETALING JAYA – Pasukan ragbi Negeri Sembilan dan Putrajaya kekal digantung daripada menyertai Kejohanan Ragbi Piala Agong 2025 selepas gagal melunaskan bayaran denda seperti ditetapkan sebelum tarikh akhir pada 23 Jun lalu.
Menurut kenyataan rasmi Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM), kedua-dua pasukan itu sebelum ini dikenakan hukuman penggantungan selama setahun kerana menarik diri pada saat-saat akhir pada edisi tahun lalu.
Bagaimanapun, badan induk berkenaan memberi ruang kepada Negeri Sembilan dan Putrajaya untuk kembali bertanding sekiranya menjelaskan bayaran denda yang dikenakan.
Namun, kegagalan berbuat demikian menyaksikan mereka terus tersisih daripada kejohanan berprestij itu.
“Negeri Sembilan dan Putrajaya masih kekal digantung daripada menyertai Kejohanan Piala Agong 2025 selepas gagal melunaskan bayaran denda sebelum tarikh akhir iaitu 23 Jun 2025.
“Hukuman ke atas pasukan tersebut sebelum ini adalah penggantungan selama satu tahun, namun diberikan pilihan untuk menyertai kejohanan sekiranya membayar denda dalam tempoh ditetapkan,” kata KRM dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam perkembangan sama, KRM turut mengumumkan tarikh akhir pengesahan penyertaan bagi pasukan lain dilanjutkan sehingga 27 Jun ini bagi memberi peluang kepada negeri-negeri yang masih belum melengkapkan proses pendaftaran.
Aksi minggu pertama Piala Agong 2025 pada 16 Ogos depan dan sebarang perubahan jadual rasmi akan dimaklumkan dari semasa ke semasa oleh pihak penganjur.
Setakat ini, sembilan pasukan telah mengesahkan penyertaan mereka iaitu ATM, PDRM, Terengganu, Perlis, Johor, Selangor, Kelantan, Pahang dan Kuala Lumpur. – KOSMO! ONLINE