PHILADELPHIA – Pemain tengah Chelsea, Moises Caicedo menggesa rakan sepasukan supaya kekal fokus dan menunjukkan kebangkitan pada pertemuan menentang ES Tunis di Stadium Lincoln Financial Field pagi esok.
The Blues menggalas misi wajib menang ke atas pasukan dari Tunisia itu sekiranya mahu meneruskan kemaraan ke pusingan kalah mati pada saingan Piala Dunia Kelab (CWC) 2025 selepas tewas kepada Flamengo, Sabtu lalu.
Caicedo berkata, mereka perlu melupakan kekalahan kepada Flamengo dan memberikan sepenuh fokus terhadap aksi pagi esok kerana ia bakal menjadi penentu sama ada Chelsea akan meneruskan saingan ataupun tidak.
“Kami perlu kekal fokus dalam setiap perlawanan kerana apa sahaja boleh berlaku sekiranya pemain-pemain leka. Reaksi daripada kekalahan sebelum ini sangat diperlukan bagi mendapatkan semula momentum.
“Semua pemain sedar bahawa perlawanan seterusnya bukan sesuatu yang mudah tetapi kami sudah bersedia dan fokus. Saya harap kami boleh capai apa yang diharapkan dan mara ke pusingan seterusnya,” katanya.
Sementara itu, Marc Cucurella pula menyifatkan masa depan The Blues berada dalam tangan para pemain selepas mereka mensia-siakan peluang untuk mengesahkan kemaraan lebih awal sebelum ini.
“Jika kami menang ke atas Tunis, kami akan layak ke pusingan kalah mati dan itu perkara paling penting. Sekarang kami perlu mendapatkan rehat sebaiknya dan bersedia untuk perlawanan itu,” ujarnya. – AGENSI