GEORGE TOWN – Seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun nyaris lemas selepas dibawa arus hingga ke tengah laut dalam kejadian di kawasan pantai berhampiran Menara Penyelamat Pantai 3 di Batu Ferringhi di sini, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 11.20 pagi itu, anggota penyelamat pantai yang bertugas segera bertindak pantas selepas melihat mangsa dibawa arus deras ke tengah laut.
Difahamkan, kanak-kanak tersebut yang berasal dari Klang, Selangor sedang berkelah di pantai berkenaan bersama ibu bapa dan ahli keluarga lain.
Ketika kejadian berlaku, keadaan laut bergelora dan air pasang besar dan bendera merah tanda amaran juga telah dipasang anggota penyelamat di Menara Penyelamat Pantai 3.
Menurut jurucakap Angkatan Pertahanan Awam (APM)Pulau Pinang, teknik bantuan pernafasan (CPR) segera diberikan kepada mangsa yang ketika itu tidak memberikan sebarang tindak balas.
”Anggota penyelamat turut menghubungi Pusat Kawalan Operasi Unit Tanjung Bungah untuk mendapatkan bantuan lanjut,” katanya di sini hari ini.
Menurutnya, usaha pantas anggota penyelamat pantai akhirnya membuahkan hasil apabila mangsa kembali sedar sebelum dikejarkan ke hospital berdekatan. – KOSMO! ONLINE