LONDON – Hasrat Arsenal untuk mendapatkan pemain sayap, Rodrygo Goes berada pada fasa baharu selepas Real Madrid dilaporkan bersedia menurunkan harga untuk pasukan yang berminat mendapatkan pemain Brazil itu.
Menurut laporan media Sepanyol, Real kini meletakkan tanda harga sekitar £77 juta (RM420.35 juta), iaitu penurunan sebanyak £8.5 juta (RM47.4 juta) daripada harga asal, sekali gus membuka peluang lebih luas buat kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) seperti Arsenal, Chelsea, Manchester City dan Tottenham yang berminat mendapatkan khidmatnya.
Laporan tersebut menambah pemain berusia 24 tahun itu dianggap salah satu kelemahan dalam jentera serangan Real dan Rodrygo hanya menjadi pilihan di belakang Kylian Mbappe, Brahim Diaz dan Gonzalo Garcia untuk dipilih dalam kesebelasan utama.
Bagaimanapun, musim lalu Rodrygo menyumbang 14 gol dan 11 umpanan gol dalam semua kejohanan untuk Real dan kemampuannya bermain di kedua-dua sayap menjadikannya sasaran ideal buat pengurus Arsenal, Mikel Arteta yang mahu memantapkan lagi posisi serangan pasukan.
Malah, The Gunners dikhabarkan sanggup melepaskan Gabriel Martinelli atau Leandro Trossard bagi membiayai perpindahan Rodrygo yang dilaporkan mahukan gaji sekitar £250,000 (RM1.43 juta) seminggu jika menyertai kelab London itu.
Rodrygo menyertai Real pada 2019 dengan nilai £39 juta (RM234 juta) dan setakat ini telah menjaringkan 68 gol dalam semua kejohanan untuk kelab gergasi Sepanyol itu. – AGENSI