ALOR SETAR – Jumlah calon Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2024 yang meraih keputusan cemerlang dengan Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 4.00 di Kedah meningkat kepada 98 orang atau 3.51 peratus.
Timbalan Pengarah Pendidikan Sektor Perancangan dan Pengurusan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kedah, Fadil Long Mohamad berkata, bilangan calon yang mendapat PNGK 4.00 itu meningkat sebanyak 24 orang iaitu daripada 74 calon atau 2.6 peratus pada 2023.
“Sukacita dimaklumkan bahawa PNGK negeri Kedah bagi STPM 2024 juga meningkat sebanyak 0.01 mata berbanding tahun lepas iaitu daripada 2.88 pada 2023 kepada 2.89 pada 2024.
“PNGK negeri yang dicatatkan itu juga merupakan yang tertinggi sejak dilaksanakan peperiksaan STPM,” katanya pada sidang akhbar di JPN Kedah, di sini hari ini.
Kata beliau, keputusan tersebut berjaya mengatasi pencapaian peringkat kebangsaan iaitu Gred Purata Nasional sebanyak 2.85 mata dengan sebanyak 30 pusat peperiksaan mencapai Gred Purata (GP) mengatasi GP Nasional.
“Daripada segi pencapaian PNGK calon, secara keseluruhannya didapati bilangan calon dan peratusan longgokan calon STPM 2024 pada PNGK 3.75 dan ke atas ialah seramai 357 calon atau 12.77 peratus.
“PNGK 3.00 dan ke atas seramai 1,417 calon atau 50.68 peratus, PNGK 2.75 dan ke atas 1,799 calon atau 64.34 peratus serta PNGK 2.00 dan ke atas 2,617 calon atau 93.60 peratus adalah meningkat berbanding 2023,” ujarnya.
Tambahnya, dua sekolah dari negeri ini iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Serdang dan SMK Kubor Panjang menerima anugerah daripada Majlis Peperiksaan Malaysia bagi kategori Sekolah Terbaik STPM 2024. – KOSMO! ONLINE