PETALING JAYA – Hasrat sepasang suami isteri membawa anak mereka menaiki Transit Aliran Massa (MRT) bertukar menjadi detik hitam apabila seorang lelaki ‘miang’ dipercayai cuba merakam gambar bawah skirt si isteri dalam kejadian yang berlaku di stesen MRT Taman Pertama, Cheras.
Menerusi satu hantaran di laman Threads milik pengguna @Shuqi97, wanita terbabit berkongsi pengalaman buruknya ketika membawa anaknya menaiki MRT.
“Cuma nak bawa anak naik MRT je, tetapi dia pula ambil gambar bawah skirt saya,” tulisnya bersama video berkenaan.
Video tersebut turut memaparkan suaminya bertindak pantas merangkul kepala lelaki terbabit selepas menyedari perbuatan jijik itu.
Difahamkan, suspek berdalih kononnya hanya mahu merakam pemandangan sekeliling, namun semakan rakaman video dan televisyen litar tertutup (CCTV) membuktikan sebaliknya.
Dalam pada itu, suami wanita berkenaan segera memanggil pegawai polis yang bertugas sebelum pasangan itu membuat laporan di balai polis berdekatan untuk tindakan lanjut.
Meninjau ruangan komen, rata-rata netizen meluahkan kemarahan dan mengecam tindakan tidak bermoral lelaki terbabit.
“Jangan biarkan perangai macam ni berleluasa! Seret dia pergi balai polis. Memang teruk betul perangai,” komen Hanani Hamdan.
“Kalau suami aku ni, mesti dah kena penumbuk budak tu,” kata Aishah.
“Gila muka skema tapi perangai miang. Bagus suami awak terus buat laporan polis. Memang patut sangat!,” kata FaiRai. – KOSMO! ONLINE
View on Threads