fbpx

Vape ‘kayangan’ sedut 100 kali, RM1,500 melayang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mat Zani (empat kiri) menunjukkan cecair vape mengandungi dadah kokain yang dirampas dalam Op Ironwood pada sidang akhbar di Bukit Aman, hari ini. - Foto oleh FARIZ RUSADIO

KUALA LUMPUR – Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman menumpaskan satu sindiket pengedaran cecair vape mengandungi dadah disyaki kokain dalam serbuan di sebuah hotel di Ampang Jaya, Selangor pada 19 Jun lalu.

Bahan terlarang itu dipercayai rampasan pertama seumpamanya di negara ini membabitkan kokain dalam bentuk cecair vape.

Pemangku Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Mat Zani@Mohd. Salahuddin Che Ali berkata, dalam serbuan pukul 3.45 pagi itu, pihaknya menahan seorang lelaki tempatan berusia 57 tahun dan tiga warga Singapura berusia 46, 25 dan 31 tahun.

“Pemeriksaan ke atas Toyota Vellfire milik sindiket itu menemui 10 kotak berisi 4,958 cartridge (katrij) vape berisi cecair kokain seberat 9,420.2 mililiter.

“Nilai keseluruhan rampasan ini dianggarkan RM7.2 juta,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Menurut beliau, sindiket menyewa premis jenis Airbnb RM300 sehari untuk memproses dan membungkus semula katrij vape berisi dadah tersebut sebelum dihantar ke luar negara.

“Salah seorang suspek positif ketamin, manakala dua daripada mereka memiliki rekod jenayah.

“Suspek tempatan mempunyai dua rekod jenayah, manakala suspek Singapura pernah dipenjara atas kesalahan mengedar dadah di republik itu pada 2003,” katanya.

Tambahnya, polis menyita barangan bernilai RM2,975 di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) menjadikan nilai keseluruhan rampasan dan sitaan mencecah RM7.296 juta.

Polis percaya sindiket itu menjadikan Malaysia sebagai transit untuk pasaran dadah antarabangsa kerana kokain sukar diperoleh di rantau Asia Tenggara dan lazimnya digunakan oleh golongan elit.

“Satu katrij kecil berisi kokain ini boleh disedut sehingga 100 kali dan dijual pada harga mencecah RM1,500 seunit di pasaran antarabangsa,” katanya.

Siasatan awal mendapati sindiket aktif sejak Mac lalu dan dipercayai menggunakan laluan darat dari selatan untuk menyeludup masuk kokain sebelum diproses di ibu negara.

Empat suspek tersebut direman selama tujuh hari bermula 20 Jun lalu bagi membantu siasatan. Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI