BAITULMUQADDIS – Pihak berkuasa Israel menahan empat pengawal di Masjid Al-Aqsa semasa serbuan malam kelmarin di dalam dewan solat lama pekarangannya, lapor akhbar Arab News.
Pihak berkuasa Baitulmuqaddis yang bergabung dengan Pihak Berkuasa Palestin berkata, mereka yang ditahan dikenal pasti sebagai Mohammad Arbash, Ramzi Al-Zaanin, Basem Abu Juma dan Iyad Odeh.
Beberapa pengawal lain dan seorang anggota bomba yang berada di pekarangan itu turut disoal siasat di lokasi kejadian oleh warga Israel, lapor agensi berita WAFA.
Sejurus selepas tengah malam kelmarin, tentera Israel menyerbu dewan lama di Al-Aqsa iaitu kawasan bawah tanah di bawah Masjid Qibli.
Mereka merosakkan kemudahan itu selepas memecah masuk ke dalam kabinet penyimpanan dan menggeledah premis tersebut, tambah WAFA.
Kata pihak berkuasa, tindakan terbaharu itu adalah sebahagian daripada usaha untuk menegaskan kawalan ke atas pentadbiran masjid dan melemahkan kuasa Jabatan Wakaf Islam di Baitulmuqaddis.
Selepas kurang seminggu ditutup sepenuhnya di bawah keadaan darurat yang dikaitkan dengan perang Iran, Masjid Al-Aqsa dibuka semula oleh pihak berkuasa Israel.
Mereka membenarkan penduduk Palestin dan jemaah Islam lain memasuki tapak itu, namun di bawah peraturan yang ketat, lapor WAFA. – AGENSI