MELAKA – “Kali terakhir saya nampak budak itu (mangsa) minggu lalu, tiada apa yang pelik atau dengar bunyi bising bergaduh.”
Demikian kata jiran kepada kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun yang mati dipercayai didera bapa tirinya di Kota Laksamana, di sini.
Warga emas yang enggan dikenali itu berkata, dia mengetahui pasangan suami isteri itu bekerja di sebuah restoran nasi ayam dan mempunyai seorang anak perempuan.
“Keluarga itu tidak bergaul dengan jiran, mereka keluar untuk bekerja. Saya nampak budak itu minggu lalu tapi tak sangka dia jadi mangsa dera,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.
Menurutnya, dia terkejut apabila mengetahui kanak-kanak itu meninggal dunia pagi tadi.
“Saya kerja malam tadi dan tidur (sebaik sampai di rumah) tiba-tiba polis datang pasang pita keselamatan dan melakukan siasatan di rumah mereka,” katanya.
Kosmo! hari ini melaporkan seorang kanak-kanak berusia sembilan tahun maut dipercayai didera bapa tirinya di Kota Laksamana.
Menurut sumber, kejadian terbongkar pada pukul 9.45 pagi tadi selepas polis menerima panggilan daripada sebuah hospital swasta memaklumkan menerima pesakit kanak-kanak dengan kesan kecederaan disaki didera.
“Doktor mendapati mangsa patah kaki selain kesan lebam di kepala dan badan. Mangsa disahkan meninggal dunia di wad kecemasan hospital itu pada pukul 9.45 pagi,” katanya. – KOSMO! ONLINE