ALGIERS – Tiga peminat bola sepak maut, manakala lebih 70 lagi cedera selepas terjatuh dari tempat duduk tingkat atas sebuah stadium semasa liga utama Algeria kelmarin.
Keputusan seri tanpa jaringan dengan pasukan NC Magra, sudah cukup untuk membuatkan MC Alger mempertahankan kejuaraan liga mereka.
Namun, keterujaan itu dengan cepat bertukar panik dalam adegan mengerikan sejurus selepas wisel penamat dibunyikan.
Media tempatan melaporkan bahawa halangan keselamatan patah di kawasan Stade du 5 Juillet, menyebabkan sejumlah penonton terjatuh ke tempat berdiri yang sebahagian besarnya kosong di bawah.
Perkhidmatan kecemasan bergegas ke tempat kejadian di ibu kota Algeria, Algiers untuk merawat berpuluh-puluh penonton yang cedera.
Beberapa gambar yang dirakam selepas kejadian menunjukkan dengan jelas bahagian penghadang yang patah di padang berkapasiti 64,200 orang itu.
“Hospital Universiti Beni Messous menerima 38 orang yang cedera, manakala tiga kematian direkodkan,” kata kenyataan daripada Kementerian Kesihatan Algeria.
“Hospital Ben Aknoun turut menerima 27 orang yang cedera, manakala Hospital Bab El Oued menerima 16 mangsa,” tambahnya.
Majlis penyampaian piala kepada MC Alger terpaksa ditangguhkan berikutan bencana itu, dengan pemain, kakitangan dan pentadbir bersatu untuk menderma darah kepada mangsa-mangsa yang memerlukan. – AGENSI