KLANG – Maritim Malaysia (APMM) telah mengenal pasti sindiket terlibat dalam penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI) yang giat melakukan iklan di media sosial terutama aplikasi TikTok.
Pemangku Timbalan Ketua Pengarah Operasi Maritim Malaysia, Laksamana Muda Maritim Mohd. Zawawi Abdullah berkata, berdasarkan risikan mendapati kemungkinan mereka berasal dari satu sindiket yang sama.
Katanya, bagaimanapun ia berpecah kepada kartel atau kumpulan tertentu dalam menjalankan aktiviti berkenaan.
“Fokus sindiket (menyeludup PATI) ini adalah di negeri Johor dan Selangor. Johor seperti yang kita tahu ia paling hampir dengan Pulau Karimun dan Pulau Batam di sebelah sana (Indonesia).
“Kalau lihat dua atau tiga tahun lepas, kita perketatkan kawasan di sebelah Selat Melaka, mereka akan masuk melalui Timur. (Namun) selepas beberapa kejadian bot karam, mereka (sindiket) berpatah balik ke Selat Melaka,” katanya ketika ditemui pemberita selepas sesi lawatan kapal peronda Japan Coast Guard (JCG) MIZUHO, di sini hari ini.
Baru-baru ini tular di media sosial beberapa video memaparkan tawaran aktiviti membawa masuk dan keluar beberapa warga asing melalui laluan laut secara tidak sah.
Mohd. Zawawi bagaimanapun tidak mendedahkan jumlah atau nama sindiket terlibat, namun menegaskan pemantauan dan risikan sentiasa dilakukan oleh APMM negeri yang terlibat itu.
Jelas beliau, iklan kemasukan PATI itu bukan sesuatu yang baru kerana ia selalunya berlaku sebelum dan selepas musim perayaan.
“Selepas itu (musim perayaan), ia akan senyap. Bila musim perayaan tiba, ia (iklan PATI) tumbuh macam cendawan.
“Maritim Malaysia tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan yang lebih drastik bagi menangani permasalahan itu. ‘Hot spot’ kita tahu, kawasan yang selalu jadi laluan keluar masuk pendatang pun sudah dikenal pasti,” tegasnya.
Mengulas lanjut, kata beliau, hasil semakan mendapati promosi iklan berkenaan dilakukan melalui platform media sosial di luar negara.
“Jadi, untuk Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (MCMC) ambil tindakan memang agak sukar dengan MCMC sendiri mempunyai limitasi untuk menyekat platform dari luar (negara).
“Bagaimanapun, (APMM) negeri-negeri terlibat sentiasa memantau berkaitan aktiviti tersebut,” katanya. – KOSMO! ONLINE