fbpx

Sindiket penipuan pelaburan forex tumpas, 10 individu ditahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Muhammad Farid menunjukkan maklumat kes penipuan pelaburan saham mata wang asing pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang, hari ini.

SERDANG – Memberikan pulangan lumayan bagi setiap pelaburan pertama yang dibuat oleh mangsa.

Taktik itu digunakan sindiket penipuan pelaburan saham matawang asing (forex) secara dalam talian bagi mengumpan kepercayaan mangsa untuk terus melabur.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Muhamad Farid Ahmad berkata, terdapat empat laporan diterima di Petaling Jaya, Taman Melawati, Kampung Baru Subang dan Kuang berkaitan pelaburan tidak wujud membabitkan kerugian berjumlah RM399,787.

Menurutnya, siasatan mendapati sindiket yang menggunakan aplikasi itu dipercayai menyasarkan warga tempatan dan sudah beroperasi selama enam bulan.

“Kedua-dua syarikat sindiket itu didapati tidak berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan disyaki membangunkan aplikasi sendiri untuk pelaburan terbabit.

“Ketika ini, polis masih menyiasat sebuah lagi syarikat yang dipercayai digunakan bagi memindahkan wang mangsa,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Muhamad Farid berkata, bertindak di atas maklumat, polis berjaya memberkas tujuh lelaki dan tiga wanita tempatan berusia di antara 21 hingga 38 tahun di sebuah premis di Bandar Puteri, Puchong sekitar pukul 2.30 petang, Jumaat lalu.

Katanya, kesemua yang ditahan berperanan sebagai pengurus sindiket, pereka platform, perkhidmatan pelanggan serta pentadbir bagi mengendalikan dokumen syarikat.

Jelasnya, polis turut merampas enam unit komputer riba dan 14 telefon bimbit pelbagai jenis bernilai RM45,000 dipercayai digunakan untuk operasi pelaburan saham.

“Semakan lanjut mendapati semua suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah, manakala ujian saringan kencing juga didapati negatif dadah.

“Suspek telah direman selama sehari sehingga 22 Jun lalu sebelum diberikan jaminan polis, namun telah ditahan semula bersabit laporan di Taman Melawati,” ujarnya.

Tambahnya, kes disiasat di Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan Seksyen 137(1) Akta Perkhidmatan Kewangan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI