fbpx

Sasar 200,000 individu dilepaskan dari bankrap hujung tahun ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Azalina ketika berucap pada Program Perdana Literasi Kewangan peringkat IPTA/IPTS di UiTM Shah Alam, Shah Alam, hari ini. - Foto oleh MOHAMAD NAUFAL MOHAMAD IDRIS / KOSMO!

SHAH ALAM – Kira-kira 200,000 individu disasarkan dilepaskan daripada masalah bankrap menjelang hujung tahun ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, sasaran itu mampu dicapai memandangkan setakat ini seramai 186,000 sudah dilepaskan berdasarkan maklumat diperoleh daripada Jabatan Insolvensi Malaysia.

“Seperti saya maklumkan (dalam ucapan), lelaki lebih ramai bankrap berbanding perempuan. Setakat ini, sejumlah 186,000 individu bankrap dilepaskan.

“Kita harap, hujung tahun ini jumlah itu meningkat kepada 200,000. Kita cuba lepaskan lebih cepat kerana ini arahan daripada Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) bagi program Dasar Peluang Kedua,” katanya selepas merasmikan Program Perdana Literasi Kewangan peringkat IPTA/IPTS di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, hari ini.

Azalina turut memaklumkan statistik kes kebangkrapan antara 2021 hingga Mei tahun ini direkod membabitkan 25,578 individu yang berusia lingkungan 25 tahun ke atas.

“Daripada jumlah itu, individu berusia 35 hingga 44 tahun adalah kumpulan tertinggi terbabit kebankrapan meliputi 10,145 individu. Dari segi jantina pula, sejumlah 18,590 lelaki dilaporkan bankrap, manakala 6,903 adalah wanita dengan 85 lagi dalam kategori tidak pasti,” katanya.

Jelasnya, penggunaan kad kredit secara tidak terkawal menjadi salah satu faktor golongan belia jatuh ke dalam dunia bankrap. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI