KETUA jurulatih skuad hoki lelaki kebangsaan, Sarjit Singh menyuarakan kesediaan untuk melepaskan jawatan seandainya gagal mengemudi pasukan ke saingan Piala Dunia 2026 di Belgium dan Belanda tahun depan.
Beliau yang mula menggalas tugas tersebut sejak Mac tahun lalu meminta semua pihak supaya tidak menyalahkan barisan pemain selain mahu bertanggungjawab sepenuhnya seandainya misi tersebut tidak dapat dilaksanakan.
“Saya fikir sekiranya kami tidak dapat melayakkan diri ke saingan Piala Dunia nanti, saya akan meletakkan jawatan. Anda semua tidak perlu meletakkan kesalahan ke atas mana-mana pemain.
“Sebagai jurulatih, saya perlu mengambil tanggungjawab penuh. Bagi saya, tidak ada sebarang isu,” katanya yang juga pernah mengemudi skuad Speedy Tigers pada 2007.
Kelmarin, Malaysia kempunan untuk menamatkan kempen Piala Negara-Negara FIH di tempat kelima selepas tewas 1-2 kepada Wales pada aksi penentuan tempat kelima dan keenam di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil.
Sementara itu, gelaran juara menjadi milik New Zealand yang berjaya mempertahankan kejuaraan selepas membelasah Pakistan 6-2 di perlawanan akhir.
Pada masa sama, Sarjit menjelaskan, masih banyak kelemahan perlu diperbaiki anak-anak buahnya bagi mencapai prestasi terbaik, terutamanya dalam beberapa aspek termasuk penyudah, pertahanan serta komunikasi.
Tambah beliau, pasukan negara perlu didedahkan dengan lebih banyak perlawanan berintensiti tinggi, sama seperti Piala Negara-Negara memandangkan aksi persahabatan tidak mencabar kekuatan mental pemain.
“bermain dalam kejohanan seperti ini sangat berbeza kerana ia menawarkan tekanan tinggi. Kita perlu hadapi situasi sebenar sekiranya mahu membentuk sebuah pasukan yang matang,” ujar Sarjit.