PONTIAN – Perjalanan seorang remaja ke tempat kerja berakhir dengan tragedi apabila dia maut selepas motosikal ditunggang terlibat dengan nahas membabitkan tiga buah kenderaan di Kampung Penerok di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Mohammad Shofee Tayib berkata, dalam kejadian pukul 6.30 pagi itu, mangsa, Nur Shahira Danish Abdullah, 18, yang parah di kepala dan badan disahkan meninggal dunia di lokasi.
Katanya, ketika kejadian, mangsa yang menunggang motosikal Honda RSX dalam perjalanan ke tempat kerja di sebuah kilang membuat biskut di Kampung Rimba Terjun.
“Setibanya di lokasi, sebuah kereta Perodua Myvi yang dipandu guru membelok ke kanan untuk keluar simpang, namun memasuki laluan motosikal mangsa.
“Akibat perlanggaran itu, Nur Shahira tercampak ke laluan bertentangan sebelm dilanggar kereta Toyota Vios yang datang dari arah Pontian,” katanya dalam kenyataan di sini, petang ini.
Menurut beliau, pemandu kereta tidak cedera, namun Perodua Myvi remuk di bahagian hadapan.
“Siasatan awal mendapati nahas berpunca daripada Perodua Myvi yang cuai ketika keluar simpang lalu memasuki laluan bertentangan menyebabkan berlaku pelanggaran dengan motosikal Nur Shahira,” katanya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Aiman Faiz Jusoh menerusi 011-26561677 bagi membantu siasatan. – KOSMO! ONLINE