PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, Kerajaan Madani komited untuk menyelesaikan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) secara tuntas dan adil.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, Kerajaan Madani juga komited menjadikan Sarawak sebagai hab tenaga utama menerusi ASEAN Power Grid untuk terus memperkasakan negeri itu.
“Saya tegaskan bahawa dalam usaha membina sebuah negara yang lebih adil, makmur dan bersatu, seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, agama atau wilayah perlu berganding bahu dan saling menyumbang dalam semangat kekitaan.
“Justeru, kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan dan pimpinan negeri diterajui Premier Sarawak adalah teras penting dalam merealisasikan cita-cita bersama untuk Malaysia yang lebih inklusif dan sejahtera,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.
Terdahulu, Anwar berkata, kehadiran beliau ke Majlis Makan Malam Sambutan Hari Gawai di Kuching malam tadi bukan sekadar memenuhi undangan.
Menurut beliau, ia sebagai tanda penghargaan terhadap kekayaan budaya dan semangat perpaduan yang menjadi teras kekuatan sebenar Malaysia.
Ujar beliau, semua pihak perlu berbangga bahawa di tengah-tengah kepelbagaian kaum dan budaya, rakyat Sarawak terus mempamerkan semangat ‘Segulai Sejalai’.
“Satu nilai yang kini menjadi pegangan dalam pentadbiran negara,” katanya. – KOSMO! ONLINE