MELAKA – Seorang peniaga dalam talian di dakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan memiliki sepucuk pistol tiruan dan 30 butir peluru ‘ball bearing’, dua minggu lalu.
Tertuduh, Tan Soo Kian, 34, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus tiga pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Uthman Abd. Ghani.
Berdasarkan dua kertas pertuduhan, tertuduh didapati telah memiliki sepucuk pistol tiruan jenama Pietro Beretta Gardone V.T buatan Itali bernombor siri E202265Z dan 30 butir peluru ball bearing yang digunakan bagi tujuan menyalahi undang-undang.
Tertuduh turut berdepan pertuduhan mengikut Seksyen 427 kanun Keseksaan kerana melakukan khianat memecahkan cermin tingkap kereta menyebabkan penama Tan Wei Kuan, 36, kerugian RM500.
Semua kesalahan itu dilakukan kira-kira pukul 12.24 tengah malam di hadapan sebuah rumah di Jalan Johor, Taman Semabok, Semabok dalam daerah Melaka Tengah pada 8 Jun 2025.
Timbalan Pendakwa Raya Farah Nabihah Sofian mencadangkan jaminan sebanyak RM30,000 dikenakan bagi kesemua pertuduhan.
Peguam R. Saravanan yang mewakili tertuduh bagaimanapun merayu agar jaminan rendah RM4,000 diberikan dengan alasan anak guamnya hanya berniaga dalam talian dan merupakan bapa tunggal yang menjaga dua anak kembar berusia 14 tahun termasuk seorang berstatus orang kurang upaya (OKU).
Uthman kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 bagi kesemua pertuduhan beserta syarat tambahan melapor diri di balai polis terdekat setiap bulan sehingga kes selesai. Beliau turut menetapkan tarikh 28 Julai depan untuk sebutan semula kes. – KOSMO! ONLINE