ALOR SETAR – Empat daerah di negeri ini dilanda ribut pada malam ini menyebabkan kerosakan terutama pada bahagian bumbung rumah selain kejadian pokok tumbang yang turut menjejaskan aliran trafik.
Antara daerah yang terjejas dalam kejadian kira-kira pukul 8.50 malam itu ialah Kota Setar, Pendang, Kubang Pasu dan Padang Terap.
Angin kencang disusuli hujan itu mengakibatkan beberapa pokok tumbang, termasuk di sepanjang Lebuh Raya Utara-Selatan berhampiran Gurun dan Jitra, mengakibatkan kesesakan lalu lintas yang teruk.
Salah satu lokasi terjejas ialah Kilometer 60.8 arah utara dari Pendang ke Alor Setar yang mengakibatkan puluhan kereta terperangkap.
Seorang penduduk di Tokai, Pendang, Habsah Ali, 60, berkata, kejadian tersebut merupakan antara yang paling mencemaskan pernah dialaminya.
“Angin kuat macam nak tercabut pokok dan ia berlarutan hampir sejam. Kami enam beranak cemas dan hanya mampu berdoa semoga tiada perkara buruk berlaku,” katanya.
Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menjangkakan kejadian ribut petir berkemungkinan berterusan sepanjang minggu ini, terutama pada sebelah petang di kawasan pedalaman Kedah sehingga Sabtu. – KOSMO! ONLINE