KUALA LUMPUR – Isteri Allahyarham Tun Daim Zainuddin, Toh Puan Na’imah Abdul Khalid dan keluarga berjaya dalam permohonan mereka untuk menggantung sementara perintah membekukan tujuh hartanah termasuk tiga kediaman mewah di London dan satu akaun bank oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Azhar Abdul Hamid membuat itu selepas membenarkan permohonan peguam Na’imah, Datuk Dr. Gurdial Singh Nijar.
Dalam keputusannya hari ini, Hakim Azhar berkata permohonan perintah pembekuan berkenaan sepatutnya didengar secara kedua belah pihak. Prosiding hari ini ditetapkan bagi sebutan permohonan ex-parte (sebelah pihak).
Justeru, mahkamah kemudian menetapkan pada 9 Julai ini bagi mendengar permohonan tujuh pihak termasuk Yayasan Ilham untuk menjadi pencelah.
Dalam prosiding terdahulu, SPRM berjaya dalam permohonan mereka untuk membekukan aset-aset itu yang kesemuanya bernilai GBP£ (Great British Pound) 132 juta (RM758.2 juta).
SPRM membuat permohonan di bawah Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001).
Aset yang dibekukan termasuk dua bangunan komersial, tiga kediaman mewah dan satu akaun bank yang kesemuanya berada di London, manakala akaun bank itu dikatakan berdaftar atas nama Yayasan Ilham.
Perintah mahkamah itu kini akan dihantar kepada pihak berkuasa United Kingdom untuk pelaksanaan pembekuan aset itu.
Sementara itu, Mahkamah di Tinggi berasingan, di hadapan Hakim K.Muniandy mahkamah itu akan mendengar permohonan Na’imah untuk mencelah terhadap permohonan SPRM untuk membekukan 12 unit akaun pelaburan dimiliki Na’imah dan keluarga serta sekutu di Singapura bernilai lebih RM544 juta.
Sebelum ini, Ketua Pengarah SPRM Tan Sri Azam Baki dilaporkan berkata, pihaknya menerima maklumat terbaharu daripada agensi luar berkaitan harta dan pemilikan aset bernilai tinggi Daim dan keluarga.
Susulan itu, pihaknya membuka lapan kertas siasatan baharu berdasarkan maklumat berkenaan.
Azam dipetik berkata, aset berkenaan dikesan di Switzerland dan United Kingdom (UK) serta beberapa negara lain.
Setakat ini, sebanyak RM2 bilion aset dan harta milik Allahyarham Daim sudah dibekukan sejak kes disiasat pada Februari 2023. – KOSMO! ONLINE