TEHRAN – Israel melancarkan serangan baharu ke atas tapak nuklear bawah tanah Fordow di selatan Tehran hari ini, lapor media Iran.
“Penyerang menyerang tapak nuklear Fordow sekali lagi,” lapor agensi berita Tasnim dengan memetik jurucakap pihak berkuasa pengurusan krisis di wilayah Qom. Ia menjadi lokasi yang menempatkan tapak tersebut.
Serangan terbaharu itu berlaku sehari selepas Amerika Syarikat (AS) melancarkan pengeboman ke atas kemudahan nuklear Iran termasuk Fordow, di samping tapak di Isfahan serta Natanz.
Sementara itu, tentera Israel berkata, ia melancarkan serangan udara hari ini untuk menghalang laluan akses ke kemudahan pengayaan uranium di Fordow yang dibom oleh AS semalam.
Presiden AS, Donald Trump berkata, serangan itu telah melenyapkan keupayaan nuklear Iran, tetapi pegawai lain berkata bahawa terlalu awal untuk menilai kesan sebenar terhadap program nuklear Tehran.
Iran mengecam serangan tersebut dan berikrar untuk bertindak balas, namun menyatakan bahawa ‘tiada tanda-tanda pencemaran’ selepas serangan Washington. – AFP